Jan 12, 2014

Kempen Sayangi Saudara SeIslam



Daripada Anas r.a sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Tidak sempurna Iman seseorang kamu sehinggalah dia menyayangi saudara seIslamnya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.
(riwayat Muslim)


KEMPEN SAYANGI SAUDARA SEISLAM

Semua orang Islam, muslimin dan muslimat adalah bersaudara. Ikatan persaudaraan sesama kita (orang-orang Islam) adalah melalui Islam iaitu agama yang benar dari Allah S.W.T. Tuhan yang Maha Agong. Oleh yang demikian, nabi Muhammad saw berpesan kepada kita supaya menyayangi mereka yang Islam yang lain sama seperti menyayangi diri kita sendiri…

Adakah kita sayang pada diri sendiri?

Tentu ramai yang menjawab, ‘mestilah sayang pada diri sendiri’.

Apa yang kita lakukan untuk diri sendiri kerana kita sayang pada diri sendiri?

Kita menutup badan kita dengan pakaian. Kita mencari sebuah tempat untuk berteduh apabila berada dalam hujan atau panas terik matahari. Kita makan apabila lapar dan minum apabila haus. Kita menyewa bilik atau rumah untuk perlindungan dan berehat di waktu malam.

Kita lakukan pelbagai perkara untuk menjaga diri kerana kita sayang pada diri sendiri.

Kesimpulannya kita tidak mahu diri kita susah kerana kita sayang diri kita sendiri.

Apabila kita disuruh untuk sayang kepada saudara kita, seperti mana kita sayang pada diri sendiri, bermakna kita juga perlu melayan saudara kita seperti mana kita melayan diri kita sendiri; jangan biarkan saudara kita susah, lapar, dahaga, mempunyai tempat berlindung dan berehat atau tidur.

Kita bersyukur kerana kebanyakan saudara kita di sekeliling kita, sudah tidak lapar, tidak dahaga, mempunyai tempat berlindung dan sebagainya. Itu juga menunjukkan kita sudah menyayangi saudara kita.

Namun satu perkara lagi yang mungkin kita perlu lakukan bagi menyayangi saudara kita seperti kita menyayangi diri kita sendiri – iaitu kita tidak menyakiti saudara kita. Kita pasti tidak mahu disakiti oleh sesiapa kerana kita sayang pada diri kita sendiri, bukan?

Oleh itu, janganlah sesekali kita menyakiti saudara kita dengan perkataan kita, seperti mengejek, mencaci, mengumpat, mengata, memarahi saudara kita sehingga beliau merasa tertekan (sedih dan sakit hati). Kita hendaklah sangat berhati-hati dalam perkara seperti ini.

Mungkin, saudara kita itu yang terlebih dahulu menyakiti kita. Tetapi, bagi memenuhi pesanan nabi Muhammad saw – mungkin kita tidak perlu membalas apa yang dilakukan oleh saudara kita tersebut dengan menyakitkan hati beliau. Dan sekiranya mereka yang mulakan dahulu, kemungkinan besar mereka TIDAK TAHU tentang pesanan nabi Muhammad saw ini, atau LUPA. Jadi, mungkin kita boleh berikan hadis ini kepada beliau seupaya beliau TAHU atau sebagai PERINGATAN jika lupa…

Dan InsyaAllah, jika kita patuh kepada pesanan nabi Muhammad saw ini, Allah SWT akan pelihara kita daripada perkara yang menyakiti kita.

Jom, sama-sama kita ambil pesanan nabi Muhammad saw ini sebagai pegangan yang utama. Bayangkan sekiranya saudara-saudara kita, di tempat kerja kita, dalam masyarakat di mana kita tinggal, di rumah (isteri atau suami, anak-anak juga merupakan saudara Islam kita) mengambil serius pesanan nabi Muhammad saw ini – mungkinkah ada orang yang disakiti? InsyaAllah, suasana sosial kita akan baik.

Jangan lupa berpesan-pesan kepada saudara seislam kita tentang pesanan nabi Muhammad saw ini…

Wallahualam…

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...