Mar 15, 2021

Buat Jeruk Belimbing Buluh

Buah Belimbing Buluh
Buah Belimbing Buluh
Semalam, semasa jenguk belakang rumah, ternampak pokok belimbing buluh yang berusia lebih 20 tahun sudah berbuah balik. Kali ni tak banyak buah seperti biasa. Mungkin dia merajuk sebab masa buah banyak sampai 20 ke 30 kilo, saya tak ambil dan biarkan luruh macam tu saja. Tetapi disebabkan beberapa minggu lepas terbaca tentang Jeruk Belimbing Buluh dalam 'posting' di facebook group - Berkebun Di Rumah (BDR) - saya rasa ni lah cara nak manfaatkan buah belimbing buluh dari pokok belakang rumah ni.


Pokok Belimbing Buluh
Pokok Belimbing Buluh

Screenshot Posting Jeruk Belimbing Buluh di facebook

Di atas adalah 'screenshot' posting tentang Jeruk Belimbing Buluh di facebook group BDR.

Sejujurnya, saya tak pernah makan jeruk belimbing buluh, jadi saya tak boleh bayangkan bagaimana rasanya. Jadi saya teringin nak tahu, dari segi tekstur buah belimbing buluh yang dah dijeruk. Walaubagaimanapun, yang saya pasti, buah ni sama masam dengan buah cermai dan jeruk cermai yang saya pernah buat satu ketika dulu memang sedap. Bezanya, jeruk buah cermai - buahnya masih pejal. Apa yang saya bayangkan buah belimbing buluh ni sepatutnya menjadi sangat lembik selepas dijadikan jeruk. Itulah yang menyebabkan saya terus mencuba berpandukan kaedah yang disediakan oleh sahabat facebook dari group BDR ni.


Buat Jeruk Belimbing Buluh


Di sini, saya catatkan proses bagaimana saya mencuba membuat Jeruk Belimbing Buluh sebagai rujukan di masa depan untuk kawan-kawan atau anak-anak, saudara mara... hahaha. 

Perkara-perkara yang perlu ada atau disediakan adalah:

  1. Buah Belimbing Buluh yang baru dipetik dari pokok. (Bukan yang dah gugur)
  2. Garam
  3. Balang kuih raya
  4. Gula
  5. Sedikit Cuka Makan
  6. Cabai/ Cili kampung
  7. Buah Asam Boi (Yang bewarna putih)
  8. Besen (Untuk rendam Buah Belimbing Buluh)
  9. Air suam


Buah Belimbing Buluh

Untuk percubaan buat jeruk kali pertama ni, saya ambil buah belimbing buluh dalam setengah kilogram (saya agak lah... tak timbang betul-betul).

Buah Belimbing Buluh
Setengah Kilogram Buah Belimbing Buluh

Tengok buah yang hijau berkilat tu saja dah kecur air liur, terbayang kemasaman buah belimbing buluh ni hahaha...


Garam

rendam buah dalam air garam

Pertama sekali basuh elok-elok buah belimbing buluh tu, dan masukkan 2 camca besar garam. Orang Kedah panggil sudu camca... jadi masukkan garam sebanyak dua sudu dan gaul-gaulkan buah tu hingga rata. Masukkan air sekadar tenggelam buah-buah tu dan rendamkan sehari semalam. Tujuannya adalah supaya hilang masam dan getah buah belimbing buluh ini.

Selepas di rendam semalaman

Selepas semalaman direndam, buah belimbing buluh ni akan bertukar menjadi kekuningan. Yang masih hijau tu mungkin buah yang masih muda lagi. Saya dapati, air rendaman tu bewarna kemerahan, mungkin disebabkan getah buah belimbing buluh.


Balang Kuih Raya

Toskan buah, buang air masin atau rendaman dan letakkan ke dalam balang yang sesuai. Saya guna balang kuih raya yang sederhana besar, baru muat setengah kilogram buah ni.

balang kuih raya
Toskan dan isi ke dalam balang kuih raya

Di sini, mungkin kita boleh gunakan bekas lain dulu untuk campurkan bahan-bahan untuk buat jeruk iaitu gula, cuka, asam boi, dan cabai (cili kampung) sebelum isikan ke dalam balang kuih raya ni. Tadi, saya isikan terus buah ke dalam balang tu selepas di tos. 


Gula

Seperti biasa untuk buat jeruk, kita akan masukkan gula. Mengikut posting dalam facebook group, mereka gunakan 7 camca gula. Bila saya masukkan ke dalam gelas kecil tu, 7 camca gula ni bersamaan dengan lebih kurang setengah gelas kecil tupperware tu hahaha. Berapa gram tak pasti.

gula
7 camca gula dimasukkan ke dalam balang

Sebenarnya, saya agak skeptikal samada cukup atau tidak nanti... sebab 7 camca nampak macam sedikit. Kita akan ketahui dua hari dari hari ni, selepas jeruk belimbing buluh ni dah sedia untuk dimakan... hmmm... kecur air liur dibuatnya.


Cuka, Cabai/Cili dan Asam Boi

Langkah seterusnya adalah masukkan sedikit cuka (5 camca besar), 5 biji cabai kampung dan 10 biji Asam Boi yang bewarna putih (saiz kecil). Saya bimbang takut nanti jeruk belimbing buluh ni jadi terlalu pedas, saya gunakan cabai kampung hijau... Walaupun, cabai hijau ni kadang-kadang cukup pedas juga. Tapi tak apa... kerana ini adalah eksperimen, kita akan ketahui nanti.

Masukkan cuka, cabai kampung dan asam boi

Sebenarnya, kita boleh untuk tidak masukkan cabai kalau tidak suka jeruk belimbing buluh kita pedas. Tetapi bagi saya, kalau ada rasa pedas tu barulah sedap sikit.


Akhir sekali masukkan 2 camca garam dan air suam.

Mengikut posting facebook group BDR, sukatan air adalah 500 gram. Saya tak pasti 500 gram air ni macamana nak kira, sebab biasanya kita gunakan ukuran liter untuk sukatan air. Oleh itu, saya telah mencuba-cuba sendiri iaitu dengan memasukkan segelas air suam. Gelas yang saya gunakan adalah gelas hadiah dari pembelian minyak pelincir syntium Petronas tu hahaha... 

Nampaknya, segelas air tu cukup-cukup satu balang kuih raya sederhana dengan setengah kilo buah belimbing buluh yang saya gunakan.

simpan dalam peti sejuk
Setelah digoncang sehingga rata, masukkan ke dalam peti sejuk

Sebelum disimpan ke dalam peti sejuk untuk selama dua hari, goncang-goncangkan balang tadi supaya bahan-bahannya bercampur. Kelihatan air bertukar menjadi putih disebabkan warna asam boi yang kita gunakan tadi.

Selesai sudah, proses buat jeruk belimbing buluh kali pertama percubaan saya. Selepas dua hari lagi, kita akan tengok bagaimana hasilnya. Saya akan sediakan posting sesedap mana jeruk belimbing buluh nanti.

See you again...



4 comments:

  1. Belimbing buluh tengah musim ni
    Tentu sedap jeruk asam boi belimbing buluh tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Baru bubuh dalam peti ais... katanya lepas dua hari makan... tengok macamana nanti hahaha...

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...