Jun 30, 2021

Bendera Putih Jika Perlu Bantuan

Bismillahirrahmanirrahim


Hari ni dapat tahu tentang usaha untuk memastikan mereka yang memerlukan bantuan agar mengibarkan bendera putih di kediaman mereka sangat menyentuh perasaan. Setelah beberapa kali tersiar berita tentang mereka yang cuba dan mengambil nyawa sendiri akibat akibat terlalu tertekan sangat mengejutkan. Lebih-lebih lagi kejadian tersebut berlaku kepada mereka yang beragama Islam. Alangkan malangnya pengakhiran mereka... bukan di dunia, tetapi di akhirat kelak. MasyaAllah...

Lebih kurang dua minggu lepas, ketika memandu untuk ke kedai runcit, beberapa meter dari masjid taman perumahan, saya ternampak seorang lelaki sedang menyelongkar tong sampah besar di tepi jalan. Kelihatan seperti mencari botol-botol plastik kitar semula. Isteri saya meminta saya untuk berpatah balik untuk mendapatkan lelaki tersebut.

"Orang tu mesti cari apa-apa untuk jual nak dapatkan duit tu... jom, kita bagi duit sikit kat dia bang..." kata isteri saya. 

Bagi memenuhi permintaan isteri saya, kami berpatah balik.

Setelah memberhentikan kereta di sebelah lelaki tersebut, isteri saya menurunkan tingkap cermin kereta dan menegur lelaki tersebut serta menghulurkan beberapa RM. Dia mengambil sambil mengucapkan terima kasih berulang kali sambil cuba menerangkan situasi beliau...

Setelah beredar, saya berkata kepada isteri saya. "Sepatutnya dia pergi ke masjid untuk mendapatkan beras dan barang-barang yang perlu sebab masjid memang ada sediakan semua tu". Bukan bermaksud saya tak setuju dengan pemberian wang oleh isteri saya.. tetapi sekadar ingin menegaskan bahawa SEPATUTNYA sesiapa yang memang sudah TIDAK BOLEH membeli apa-apa makanan, mereka BOLEH mendapatkannya dari masjid. 

Malah di kawasan berdekatan taman perumahan kami, terdapat dua pusat pengumpulan barangan keperluan untuk diambil oleh sesiapa yang memerlukan. Barangan tersebut diletakkan di bawah khemah di tepi jalan dan tiada sesiapa menunggu. Bermakna, kalau memang memerlukan, boleh saja untuk pergi ke khemah tersebut dan mengambilnya tanpa ada orang yang melihat.

Oleh itu untuk meneruskan kehidupan untuk beberapa minggu masih ada jalan. Tidak seharusnya menamatkan riwayat begitu sahaja!

Namun begitu, memang mudah untuk saya bercakap... tanpa mengetahui situasi sebenar mereka. Tetapi adalah sangat menyedihkan jika mereka terpaksa bertindak sebegitu, di mana tidak kembali masuk syurga bagi mereka yang mengambil nyawa sendiri di akhirat kelak!

Subhanallah. 

Kita sangat-sangat berharap agar mereka yang apabila sampai ke tahap terdesak agar mengibarkan kain putih (bendera putih) tanpa rasa malu supaya ada yang akan menghulurkan bantuan!

Pastinya, ia adalah peluang kepada mereka yang berkemampuan untuk mendapatkan ganjaran pahala serta mengharapkan keredhaan Allah SWT dengan menghulurkan bantuan. Ganjaran pahala membantu sesiapa yang memerlukan atau sehingga terdesak, adalah ganjaran yang bagi seseorang yang sekiranya sudah mati, berharap agar dapat kembali hidup di dunia walaupun untuk sehari...

Allahualam bissawab.


2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...