Bismillahirrahmanirrahim:
Lagi beberapa hari kita akan masuk ke 10 hari terakhir Ramadhan Kareem dan yang paling istimewa ialah Anugerah yang Allah SWT sediakan untuk kita iaitu malam Lailatulqadar pada salah satu malam dalam 10 malam terakhir ini. Subhanallah! Di sini saya menjemput saudara muslimin muslimat sekalian, serta memotivasi diri saya agar turut menghidupkan malam-malam 10 terakhir ini. Apakah amalan-amalan yang boleh kita lakukan dalam menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan ini?
Ramai yang dah mengetahui, dan ramai yang telah bertahun-tahun mengamalkannya – namun saya ingin mencatatkannya di sini sebagai peringatan kepada diri saya dan saudara-saudara muslimin muslimat yang tiba ke blog ini – semoga kerja buat saya ini dikira sebagai amalan yang diberkati dan memperolehi ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Malam Lailatul Qadar
Allah SWT menyebut tentang malam lailatul qadar ini dalam surah khas iaitu Surah Al-Qadr. Ayat ke-3 Surah AL-Qadr ini berbunyi:
Malam lailatulqadar itu lebih baik dari 1,000 bulan.
Sebagaimana yang kita tahu, 1,000 bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun. Jadi, andainya malam itu kita bersolat fardhu berjemaah, bersolat tarawikh, witir dan solat-solat sunat seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sehingga menjelang Subuhnya, maka pahala semua solat-solat itu seumpama kita melakukannya selama 83 tahun.
Dan 83 tahun ini, sesetengah dari kita tak sempat sampai pun umur sejauh itu. MasyaAllah… Tabaarakallah…
Bila malam lailatulqadar ini?
Terdapat hadis sahih:
Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan : “Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 3436]
Hadis ini menyebut tentang 10 hari terakhir bulan Ramadhan, di mana Rasulullah SAW akan mengajak iaitu mengejutkan ahli rumahnya untuk bangun menghidupkan malam. Ini adalah kerana malam lailatulqadar boleh jatuh pada mana-mana malam dalam 10 hari terakhir bulan Ramadhan.
Ulamak-ulamak muktabar turut mengupas bahawa malam lailatulqadar berlaku pada malam-malam yang ganjil di antara 10 malam tersebut iaitu samada malam 21, 23, 25, 27 atau 29.
Dulu masa saya di usia muda, atau zaman jahiliah saya, saya tidak mengambil berat pesanan orang-orang tua – mungkin kerana tidak mendapat hidayah lagi, tetapi sekarang bila umur hampir mencecah 50 tahun ini, saya rasa amat menyesal kerana tidak mengambil peluang bersungguh-sungguh dalam berpuluh tahun saya melalui bulan Ramadhan.
Bukankah, insyaAllah, seandainya ada kesungguhan dan kesedaran – sekiranya saya melalui 10 malam terakhir bulan Ramadhan setiap tahun, mungkinkah Allah SWT menemukan saya dengan malam lailatulqadar yang lebih baik dari 1,000 bulan?
Tadi terdengar di radio IKIM, seorang penceramah menyebut bahawa malam lailatulqadar itu LEBIH BAIK dari 1,000 bulan, bukannya bersamaan dengan 1,000 bulan. Apakah tahap LEBIH BAIK itu disisi Allah SWT? Allahualam bissawab..., tidaklah mampu fikiran kita membuat pengiraannya tetapi yang pasti apa yang Allah SWT janjikan pastinya benar-benar LEBIH BAIK.
Saya mendoakan hidayah kepada sahabat saudara muslimin dan muslimat agar timbul rasa hendak bersungguh-sungguh menghidupkan 10 malam terakhir ini.
Amalan pada 10 malam terakhir Ramadhan
Di dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Nasa’I, daripada Abu Hurairoh telah berkata:
Ketika mana telah datang bulan Ramadan, telah bersabda Rasulullah SAW.
"Telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan, telah difardukan Allah ke atas kamu untuk berpuasa, dibuka padanya pintu-pintu syurga, dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, dirantai padanya syaitan-syaitan, padanya malam Lailatul Qadar sebaik 1,000 bulan, siapa yang terlepas daripada kebaikannya maka ia hilang kelebihan itu,"
Antara amalan yang dianjurkan adalah:
1. Daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasullulah SAW pernah berkata yang bermaksud : "Sesiapa yang bangun malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri), akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu". Di sini Rasulullah SAW berpesan supaya bangun malam atau qiamullail – dengan penuh keimanan (percaya dan yakin janji-janji Allah SWT), bermuhasabah diri dan mohon keampunan dengan bersolat Taubat.
2. Perbanyakkan membaca Al-Quran serta berzikir mengingati Allah SWT.
3. Beriktikaf di Masjid – namun begitu, dalam arahan PKP atau PKPB ini, kita masih belum dapat beriktikaf di Masjid, tetapi ini hanya salah satu daripada saranan. Allah SWT lebih mengetahui sekiranya kita tidak dapat melaksanakan saranan ini.
4. Bersedekah dengan penuh keikhlasan iaitu, tanpa rasa berat untuk memberikan sebahagian dari rezeki kita kepada orang lain. Saya pernah terdengar di dalam radio IKIM menyuruh kita bersedekahlah walaupon pada kadar RM1.00 (sebagai contoh) sebab, jika ketemuan kita dengan malam lailatulqadar, nilai tersebut berganda-ganda lebih dari 1,000 bulan nilai sedekah kita tadi. Bayangkan kalau kita berkemampuan bersedekah lebih dari RM1.00. Syaratnya hanya ikhlas – tidak berfikir balik pemberian kita dan tidak rasa berat pun untuk melepaskan nilai sedekah itu. Juga kita sedekahkan itu dengan harapan memperolehi ganjaran dari Allah SWT kerana Allah SWT sangat suka kepada orang yang bersedekah.
Qiamullail
Alhamdulillah pada tahun sebelum ini, saya berkesempatan atau diberi kelapangan untuk berqiamullail di masjid berhampiran rumah. Dari pengalaman saya, amalan semasa qiamullail adalah:
1. Solat Tahiyatul Masjid (sebab dilakukan di masjid) Bila kita melakukannya di rumah, kita teruskan dengan solat Tahajjud terlebih dahulu.
2. Setelah selesai solat tahajjud, solat Taubat.
3. Setelah selesai solat taubat, solat Tasbih – 4 rakaat dengan 2 salam.
4. Solat Subuh berjemaah selepas sahur.
Sebelum kita bangkit untuk qiamullail, seelok-eloknya kita akhiri malam tersebut iaitu sebelum tidur dengan solat witir dan tadarus Al-Quran. Kemudian kita tidur dengan niat untuk bangun qiamullail. Kita boleh bangun seawal jam 4.00 pagi supaya sempat mengerjakan kesemua solat di atas.
Apa yang penting ialah, kesungguhan untuk mendapatkan malam lailatulqadar yang muncul pada salah satu malam 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Walaupun terdapat pendapat ulamak bahawa malam lailatulqadar ini jatuh pada malam ganjil tetapi sebaik-baiknya kita istiqamah melakukan ibadat dan amalan bersungguh-sungguh setiap malam. Pastikan niat kita betul-betul untuk merebut peluang anugerah Allah SWT. Jangan lupa juga berdoa agar kita diketemukan dengan malam lailatulqadar itu kerana Allah SWT sangat-sangat menyuruh kita untuk berdoa dan meminta daripadaNya.
Semoga kita terpilih oleh Allah SWT untuk memperolehi malam lailatulqadar ini dan menjadikan kita tergolong di dalam golongan orang-orang yang beruntung di akhirat kelak. Allahumma.. Aminn..
Allahualam bissawab.
-----------------------------------
RAYUAN SUMBANGAN DAN INFAQ SEMPENA BULAN RAMADHAN
MADRASAH AT TAKLIMIAH AL KHAIRIAH
(TOK KELING)
Sebuah Sekolah Agama Rakyat Mukim Tok Keling Alor Setar Kedah
dengan pelajar seramai 300 orang dan 25 guru sukarelawan dan ustaz-ustazah.
KLIK GAMBAR UNTUK INFO DI FACEBOOK MTK
Peluang menggandakan ganjaran pahala sedekah/infaq di 10 hari terakhir Ramadhan
Tabaarakallahuminkum...
--
Sy akan cuba menghidupkan 10 malam terakhir itu. In Shaa Allah. Thanks for the reminder...
ReplyDeletereminder to myself and love ones ... sahabat sesaudara islam... moga Allah permudahkan urusan kita...
DeleteTerima kasihbatas perkongsian..in shaa Allah sama2 kita hidupkan dan memburu #lailatulQadar
ReplyDeletetabarakallahu fik...
DeleteAminn Ya Rabb. Semoga kita berpeluang bertemu malam lailatul qadar.
ReplyDeleteAminnn... Allahumma... Aminnn...
DeleteTerima kasih.. kalau nasihat Ustaz Wadi Anuar sentiasa kita menghidupkan 10 malam terakhir dan semoga kita temui Lailatul Qadar.
ReplyDelete