Jan 2, 2014

Tipu Testimonial Untuk Jual Barang Bukan Muamalat Orang Islam

Pernah kawan-kawan atau kawan pada kawan kita ‘post’ iklan jualan barang-barang dalam fb? Berniaga melalui fb memang bagus, dan trend ini sudah semakin popular sekarang. Berniaga secara online sebagai ‘part-time’ sedikit sebanyak boleh membantu untuk mendapat pendapatan tambahan terutamanya zaman nilai duit semakin kecil akhir-akhir ni. Apa yang sedihnya, terdapat sebilangan dari mereka yang menjual barang-barang dalam fb ini yang tidak berniaga dengan betul mengikut kaedah muamalat dalam Islam. Sebagai contoh, menunjukkan testimonial keberkesanan atau kebaikan barangan mereka dengan cara menipu…

Baru-baru ini,
seorang sahabat menceritakan kepada saya yang dia telah membeli satu produk yang dijual melalui fb. Dia tertarik dengan produk tersebut kerana terdapat banyak testimonial yang mengatakan produk itu bagus. Harga produk tersebut lebih dari RM200, agak mahal, tetapi kerana testimonial ramai pembeli menyebabkan dia turut membeli produk tersebut.

Dalam masa yang sama dia tunkukkan saya laman fb page jualan produk tersebut. Memang banyak jualan yang dibuat menunjukkan perniagaan itu bagus. Hampir setiap post menunjukkan testimonial pembeli yang mengatakan produk tersebut bagus, berkesan dan sebagainya. Timbul rasa berminat untuk membeli barang tersebut, lalu saya menghantar mesej untuk bertanya lebih lanjut jika produk tersebut berkesan untuk satu masalah yang saya hadapi.

Mesej saya di balas dengan segera dan mengatakan  produk tersebut boleh menyelesaikan masalah saya juga. Lalu saya bertanya sekiranya ada mana-mana pengguna yang mempunyai masalah seperti saya untuk mengetahui lebih lanjut berapa lama dan berapa banyak produk tersebut di ambil. Si penjual membalas dengan mengatakan beliau akan menunjukkan testimonial tersebut dalam ruangan fb (update).

Dalam lebih kurang 15 minit, testimonial tersebut di muat naik ke ruang fb tersebut. Ianya ‘imej smart phone screen’ perbualan seorang klien dengan beliau tp ringkas sahaja mengatakan bahawa masalah beliau sudah selesai.

Tiba-tiba saya terperasan waktu yang tertera pada perbualan tersebut iaitu beberapa minit selepas saya menghubungi beliau. Dalam hati terlintas, kenapa testimonial tersebut masih baru lagi? Saya menghubungi melalui telefon dan bertanya adakah orang yang mempunyai masalah seperti saya tadi betul. Saya minta untuk menghubungi orang tersebut tetapi si penjual tadi tidak memberi maklum balas. Saya cuba menghubungi beliau beberapa kali tetapi tidak dijawab, sehingga sekarang.

Untuk memberi testimonial yang salah atau menipu testimonial bukanlah cara yang betul dalam urusan berjual beli. Terasa sedih sebab, perkara tersebut tidak diberi perhatian dengan serius.  Nabi Muhammad S.A.W. telah berpesan supaya tidak ada unsur-unsur penipuan dalam urusan jual beli. Bayangkan, wang yang diperolehi melalui urusan jual beli yang melanggar hukum muamalat yang digunakan untuk membeli makanan dan mungkin untuk anak-anak atau keluarga. Walaupun, perkara tersebut kelihatan seperti remeh, tetapi kesan nya cukup besar.


Dengan ini, saya menyeri semua umat Islam yang membaca tulisan saya ini, agar memberi perhatian kepada urusan muamalat sebelum melibatkan diri dalam perniagaan. Mungkin tidak semua testimonial seperti itu satu penipuan tetapi, jangan disebabkan untuk memperolehi keuntungan kita lupa apa akan jadi di akhirat kelak. Allahualam bissawab.

No comments:

Post a Comment