Daripada Anas r.a sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak sempurna Iman seseorang kamu
sehinggalah dia menyayangi saudara seIslamnya seperti mana dia menyayangi
dirinya sendiri.”
(riwayat Muslim)
KEMPEN SAYANGI SAUDARA SEISLAM
Semua orang Islam, muslimin dan muslimat adalah bersaudara.
Ikatan persaudaraan sesama kita (orang-orang Islam) adalah melalui Islam iaitu
agama yang benar dari Allah S.W.T. Tuhan yang Maha Agong. Oleh yang demikian,
nabi Muhammad saw berpesan kepada kita supaya menyayangi mereka yang Islam yang
lain sama seperti menyayangi diri kita sendiri…
Adakah kita sayang pada diri sendiri?
Tentu ramai yang menjawab, ‘mestilah sayang pada diri
sendiri’.
Apa yang kita lakukan untuk diri sendiri kerana kita sayang
pada diri sendiri?
Kita menutup badan kita dengan pakaian. Kita mencari sebuah
tempat untuk berteduh apabila berada dalam hujan atau panas terik matahari.
Kita makan apabila lapar dan minum apabila haus. Kita menyewa bilik atau rumah
untuk perlindungan dan berehat di waktu malam.
Kita lakukan pelbagai perkara untuk menjaga diri kerana kita
sayang pada diri sendiri.
Kesimpulannya kita tidak mahu diri kita susah kerana kita
sayang diri kita sendiri.
Apabila kita disuruh untuk sayang kepada saudara kita,
seperti mana kita sayang pada diri sendiri, bermakna kita juga perlu melayan
saudara kita seperti mana kita melayan diri kita sendiri; jangan biarkan
saudara kita susah, lapar, dahaga, mempunyai tempat berlindung dan berehat atau
tidur.
Kita bersyukur kerana kebanyakan saudara kita di sekeliling
kita, sudah tidak lapar, tidak dahaga, mempunyai tempat berlindung dan sebagainya.
Itu juga menunjukkan kita sudah menyayangi saudara kita.
Namun satu perkara lagi yang mungkin kita perlu lakukan bagi
menyayangi saudara kita seperti kita menyayangi diri kita sendiri – iaitu kita
tidak menyakiti saudara kita. Kita pasti tidak mahu disakiti oleh sesiapa
kerana kita sayang pada diri kita sendiri, bukan?
Oleh itu, janganlah sesekali kita menyakiti saudara kita
dengan perkataan kita, seperti mengejek, mencaci, mengumpat, mengata, memarahi
saudara kita sehingga beliau merasa tertekan (sedih dan sakit hati). Kita
hendaklah sangat berhati-hati dalam perkara seperti ini.
Mungkin, saudara kita itu yang terlebih dahulu menyakiti
kita. Tetapi, bagi memenuhi pesanan nabi Muhammad saw – mungkin kita tidak
perlu membalas apa yang dilakukan oleh saudara kita tersebut dengan menyakitkan
hati beliau. Dan sekiranya mereka yang mulakan dahulu, kemungkinan besar mereka
TIDAK TAHU tentang pesanan nabi Muhammad saw ini, atau LUPA. Jadi, mungkin kita
boleh berikan hadis ini kepada beliau seupaya beliau TAHU atau sebagai
PERINGATAN jika lupa…
Dan InsyaAllah, jika kita patuh kepada pesanan nabi Muhammad
saw ini, Allah SWT akan pelihara kita daripada perkara yang menyakiti kita.
Jom, sama-sama kita ambil pesanan nabi Muhammad saw ini
sebagai pegangan yang utama. Bayangkan sekiranya saudara-saudara kita, di
tempat kerja kita, dalam masyarakat di mana kita tinggal, di rumah (isteri atau
suami, anak-anak juga merupakan saudara Islam kita) mengambil serius pesanan
nabi Muhammad saw ini – mungkinkah ada orang yang disakiti? InsyaAllah, suasana
sosial kita akan baik.
Jangan lupa berpesan-pesan kepada saudara seislam kita
tentang pesanan nabi Muhammad saw ini…
Wallahualam…
No comments:
Post a Comment