Apr 18, 2014

Pokok Kapal Terbang

Saya sangat yakin ramai remaja sekarang yang tak kenal Pokok Kapal Terbang, terutama mereka yang tinggal di bandar-bandar. Lagipun, zaman sekarang ni, budak-budak sekolah tak lagi bermain sembunyi-sembunyi atau polis penjahat dan menyorok dalam semak...seperti di zaman saya kanak-kanak dulu.






Dilahirkan dan dibesarkan di kampung memang lah akan kenal pokok itu, dan pokok ini. Kalau biasa mandi di tali air (anak sungai) maka, kenal jenis ikan darat ini, ikan darat itu. Semasa kecil, banyak memori saya bermain dalam pokok getah, bendang dan padang ditengah-tengah bendang di mana saya bawa kambing-kambing peliharaan saya untuk makan rumput. Di padang tu lah banyak pokok Kapal Terbang ni.

Dan di dalam semak atau rimbun pokok Kapal Terbang ni lah saya main sorok-sorok atau buat pondok-pondok, sampai kadang-kadang tertidur di perdu pokok Kapal Terbang sampai petang, dan dijemput oleh ayah saya dengan pelepah nyior, kerana tak bawa balik lagi kambing ke rumah. Hahahahaha....



Bagaimana boleh keluar cerita pokok Kapal Terbang ni?

Hahahaha.. sebenarnya, kebetulan tengahari tadi, selepas sembahyang Jumaat, saya hantar Ahmad Yusuf ke kelas pengajian tarannum (ganti pada sebelah petang). Ketika berhenti 'parking' di sebelah rumah kedai tempat kelas Ahmad yusuf tu, tiba-tiba ternampak serumpun pokok Kapal Terbang ni. Dan tiba-tiba saya teringat yang dah lama saya tak nampak pokok Kapal terbang kat mana-mana.

Kelebihan daun pokok Kapal Terbang

Pokok Kapal Terbang ni bagi saya sangat bagus untuk menghentikan pendarahan apabila terluka; kena pisau atau parang. Masa saya kecil, tangan saya terluka sangat dalam, akibat terkena buluh masa nak buat pistol buluh. Darah keluar dengan banyak dan tak berhenti, menitis hampir basah seluar pendek yang saya pakai. Saya berlari tunjuk luka saya kepada nenek saya dan dengan segera dia turun ke tanah, capai beberapa helai daun pokok Kapal Terbang, masukkan dalam mulut dan kunyah sampai hancur dan ludah atas tangan dia. 

Daun yang dah lumat tadi bercampur dengan lendir hijau yang likat di tampal ke tapak tangan saya dan tak sampai lima minit, bila di alih gumpalan daun lumat tadi, hanya tinggal satu garisan luka sahaja kat tapak tangan saya. Darah tak keluar pon dari garisan terbelah tu, dan nampak isi putih kehijauan saja.


Lepas tu dia terus cuci tempat luka tadi dengan air bersih dan dia ambil sedikit daun Aloevera (yang berduri), koyakkan dan ambil getah Aloevera tersebut lalu menyapu ke garisan luka tadi dan dibalutnya tangan saya. Keesokkan hari, luka tersebut dah bercantum balik dengan cantik, tak ada kesan darah kering (kuping).

Itulah kelebihan daun pokok Kapal Terbang ni... memang hebat dan ajaib!!!

Dengan sebab itulah saya telah 'merepih' (hahahaha)... dua tiga batang muda untuk saya balik tanam kat rumah. Ada serimbun pon ok lah - mana tau ada 'emergency'.


Menanam pokok Kapal Terbang

Pokok Kapal Terbang ni ada bunga kecil-kecil bewarna putih yang akan berbuah dan jadi benih. Tapi sebab pokok ni tak ada bunga lagi, saya ambil batang dia saja lah. Batang tu saya kena rendam dalam air dulu supaya keluar akar dan lepas tu baru alih ke atas tanah (cara malas). Boleh saja tanam terus atas tanah tapi kena tempat redup dan kerap siram hingga dia betul-betul hidup (berakar). Kalau tak cukup air, dia tak berakar dan lama-lama mati.

Sejarah pokok Kapal Terbang

Tadi saya google untuk mencari nama saintifik pokok Kapal Terbang ni dan terjumpa banyak artikel tentang pokok ni. Ada yang kurang tepat (bercangah dengan pengalaman saya) dan ada info yang menarik. Manakala cerita asal usul pokok ni pon tak sama seperti yang diberitahu kepada saya oleh ayah saya.

Nama saintifik pokok Kapal Terbang ini ialah Chromolaena odorata (sumber wikipedia). 

Dari segi asal usul saya memang tak tahu tapi menurut wikipedia, ia berasal dari India, kepulauan Jawa, Amerika pun ada. Gelaran pokok ni pon bermacam-macam... boleh baca sendiri kat wikipedia. Namun begitu, kisah bagaimana pokok ni boleh berada di Malaysia dan kenapa nama dia pokok Kapal Terbang seperti yang diceritakan kepada saya oleh ayah saya dan orang tua-tua kat kampung adalah bermula pada zaman Jepun dulu.

Menurut ayah saya, sebelum askar Jepun masuk ke Malaya dengan berjalan kaki dari Siam, Jepun telah membawa benih pokok Kapal Terbang ni dan di taburkan sepanjang laluan yang akan dilalui oleh askar-asakar mereka, dengan kapal terbang. Pada masa tu, orang kampung hairan apa yang dilepaskan oleh kapal terbang Jepun yang terbang di atas kampung-kampung dan tidak lama lepas tu mendapati pokok ni tumbuh merata-rata. Dari situ, mereka memberi nama pokok ni pokok Kapal Terbang.

Tidak lama lepas tu lah, askar jalan kaki Jepun masuk menawan Tanah Melayu.

Tujuan Jepun menabur benih pokok ni adalah bagi kegunaan askar-askar mereka apabila luka terkena tembakan, disebabkan kebolehannya yang luar biasa untuk menghentikan pendarahan.

(cerita versi orang tua-tua di Kelantan)


Sifat-sifat pokok Kapal Terbang

Nak kenal pokok ni ialah dengan melihat bentuk daun seperti gambar di atas. Permukaan daun ni berbulu halus, tetapi lembut... tak seperti bulu pada buluh yang keras dan miang.

Bila diramas daun pokok Kapal Terbang ni, dia akan menghasilkan bau yang kuat dan mengeluarkan sedikit lendir atau getah bewarna hijau.

Batang pokok ni lembut dan hijau tetapi bila dah agak tua sikit dia bertukar jadi keras (kayu). Ketinggian hingga lebih sikit dari ketinggian kita tetapi kalau dia tumbuh dekat rimbun pokok lain, dia akan panjat rimbunan pokok lain tersebut.

Pengalaman menghentikan pendarahan akibat luka dalam kerana terkena parang

Semasa saya bertugas sebagai jurulatih Kadet Remaja Sekolah dan mengendalikan latihan bina insan atau jati diri serta perkhemahan kepada pelajar-pelajar sekolah, pernah berlaku satu kejadian, di mana salah seorang anggota KRS telah terkena parang ketika memotong kayu. Luka terkena parang tersebut sangat dalam sehingga nampak tulang dan mengeluarkan darah yang banyak.

Walaupun kita ada 'first aid' kit, untuk meletakkan iodin pada luka tersebut, luka perlu di basuh dan darah sudah berhenti mengalir, oleh itu kita tak boleh letakkan iodin lagi. Apa yang saya lakukan, saya ambil daun pokok Kapal Terbang ni dan suruh dia kunyah lepas tu tampal pada luka tersebut. Hanya selepas beberapa minit, darah tidak lagi keluar dari celah luka tersebut dan mudah nak dibersihkan. Saya telah letak sedikit iodin dan balut, dan terus hantar ke klinik untuk dijahit dan mendapatkan suntikan anti-tetanus.

Di zaman sekarang ni mungkin dah ada ubat tertentu yang boleh menghentikan darah dengan serta-merta kalau terluka, tetapi saya sendiri tak ada dalam simpanan kecuali iodin dan minyak Gamat. Tetapi saya rasa, selain dari mempunyai ubat tersebut sebagai 'first aid' yang mesti ada di rumah, elok juga kalau ada pokok Kapal Terbang  ni sebab kesan dia memang sangat hebat.

Selain dari pokok Kapal Terbang, daun Sireh juga boleh menghentikan darah, tapi kesan dari daun pokok Kapal Terbang jauh lebih hebat dari daun Sireh.


Kebesaran Tuhan

Kalau diperhatikan dan direnung tentang keajaiban daun Pokok Kapal Terbang ni, kita boleh nampak betapa kebesaran ciptaan Allah SWT... Subhanallah.. :)


--


17 comments:

  1. 'merepih'....hihi... mematah.... tuan wafa.... rasa-rasalah budak budak lo ni banyak yang tak kenal bedil buluh woh cenirai

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaahha... mematahkan... tak dok doh... budak kampung pon belum tentu kenal jugak hahahaha

      Delete
  2. Lama tak nampak daun ni, kt Kg Nurul daun ni dipanggil Daun Malaysia.. tak tau la kenapa, juga digunakan untuk menghentikan darah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. memang dari pokok yang sama kut tu... ok lah kalau nama daun malaysia... :D

      Delete
  3. bukan remaja..org tua pun x tau pokok ni...hehehe...mungkin noe pernah tengok tapi x tau namanya...dan pada noe..pokok2 ni hanya semak samun dan wajib dicantas/dicabut...hehehehe....ada kegunaan rupanya pokok ni...

    ReplyDelete
    Replies
    1. pokok ni memang semak samun nOe..kalau di biar memang tak elok nampak... tapi kalau ada serumpun jer ok lah... jangan biar dia berbunga... nampak nak berbunga tu terus pangkas buang... dia tak akan merebak... hebat kegunaan utk berhentikan darah. Orang yang dah gyna saja yang tahu... doktor mungkin tak berapa setuju ni hahahaahaha... :D

      Delete
  4. prnh tngk pokok nni. tapi x tahu kegunaan n nama dia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. sekarang dah tahu... mungkin berguna info ni bila-bila kan?...

      Delete
  5. biasa jumpa pokok ni cuma baru tau namanya pokok kapal terbang...heee. satu lagi pokok menjalar yang boleh berentikan darah luka, daun ulan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ada macam-macam nama pokok ni... tapi rata-rata orang panggil pokok kapal terbang :D
      daun ulan saya tak biasa tahu... dalam google pon tak banyak maklumat.. nanti nak kena cari jugak daun ulan ni :D

      Delete
  6. Replies
    1. dengar nama ker dengar khasiat dia? :D

      Delete
  7. This is my first time hear about this plant. I have really poor knowledge on plants.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha berkawan dengan orang kampung ...banyak lah nanti tahu tentang plants... but one thing, i'm sure you know a lot about Durian do you?

      Delete
    2. Glad that I can learn a lot about plants from you. I don't know much about Durian too cos I don't really eat durian due to it is too heaty for my body.

      Delete
  8. Assalamualaikum
    Hi... where to get pokok kapal terbang i really need for my research purposes

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum
    Hi... where to get pokok kapal terbang i really need for my research purposes

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...